Followers

Saturday, October 1, 2011

Cirit Birit Punca dan Jenis

Oleh Dr Mohamed Izham Mohamed Ibrahim
Sumber - Dewan Kosmik Januari 2000

Masalah cirit birit (diarea) selalunya dikenal pasti melalui peningkatan kekerapan membuang najis yang lembut dan berair dalam tempoh yang singkat. Kekerapan pembuangan najis berbeza di kalangan individu. Terdapat individu yang membuang air besar sekali dalam tempoh dua hingga tiga hari. Ada laporan yang mencatat berat normal najis sehari lebih kurang 100 hingga 150 gram. Jika beratnya mencapai 200 hingga 300 gram (atau lebih daripada 200ml/hari), ini dianggap sebagai cirit birit.

Faktor utama yang menyebabkan berlaku cirit-birit ialah pengumpulan air pada bahagian usus. Kandungan air meningkat kepada 60 hingga 90 peratus. Air ini sepatutnya diserap semula oleh usus. Cirit-birit berlaku apabila faktor-faktor tertentu mengganggu keupayaan usus untuk menyerap air dan garam mineral daripada najis. Kadangkala najis tersebut berdarah, bernanah dan berlendir.

Cirit-birit sering dilihat dan dirawat sebagai masalah gastrousus (sistem penghadzaman) yang tidak serius dan sementara. Lebih daripada 50 jenis penyakit termasuk penyaki-penyakit kronik seperti buah pinggang, jantung, hati kelenjar tiroid dan AIDS akan menyebabkan masalah cirit-birit. Selain itu, pelbagai jenis ubat boleh menyebabkan kesan sampingan cirit-birit. Cirit-birit juga sering dikaitkan sebagai tanda penyakit yang utama.

Usus besar manusia mempunyai dua fungsi, penyerapan dan penyimpanan. Di bahagian penyimpanan, usus menyimpan bahan-bahan buangan yang dikenali sebagai najis. Najis ini terdiri daripada 75 peratus air dan 25 peratus bahan-bahan lain seperti makanan yang tidak dapat diserap, sel-sel tubuh yang telah mati, kuman bakteria, bahan garam mineral yang tidak diserap dan dalam kuantiti yang kecil. Dalam saluran usus, kuman bakteria menghasilkan  vitmain dan bahan kimia yang dikenali sebagai ammonia.

Kuman yang sering berada dalam kawasan usus dikenali sebagai Bakteroides dan Laktobasilus. Selain itu, terdapat juga jenis bakteria yang dipanggil sebagai Escherichia coli, Streptococus Clostridium dan juga kulat yang tinggal dalam usus besar manusia. Kuman-kuman ini akan menjadi merbahaya apabila jumlah mereka mengganda tanpa kawalan. Di antara faktor yang boleh merubah atau mempengaruhi jumlah kuman-kuman ini ialah jenis pemakanan, tahap keasidan bahagian usus, penyakit gastrousus dan ubat-ubatan seperti antibiotik.

Cirit-birit berlaku akibat pelbagai perkara, menyebabkan pihak perubatan sukar untuk mengenal pasti punca masalah tersebut. Ia memerlukan sejarah pesakit, pemeriksaan fizikal dan ujian makmal yang rapi. Punca masalah ciri-birit boleh berlaku akibat masalah psikogenik (ketegangan emosi dan kerisauan), neurogenik (gangguan sistem saraf), selepas pembedahan, gangguan sistem kelenjar (edokdrin), rengsaan, osmotik, pemakanan, alahan, masalah penyerapan makanan dan garam mineral, jangkitan serta radangan.

Terdapat dua jenis utama cirit birit akut dan kronik.

Cirit-birit jenis ini ditunjukkan dengan kejadian cirit-birit secara tiba-tiba. Najis yang dihasilkan lembut dan berair, perut yang 'berangin' atau bergas (flatulens), kesakitan dan individu mengalami demam dan muntah-muntah.

Cirit-birit akut mungkin disebabkan oleh jangkitan, keracunan (toksin), kesan sampingan ubat atau jenis makanan. Sesetengah penyakit boleh menyebabkan cirit-birit. Cirit-birit yang berpunca daripada jangkitan kebiasaannya disebabkan oleh kuman virus.

i.    Cirit-birit disebabkan kuman bakteria

Kebiasaannya, kuman bakteria yang sering menyebabkan cirit-birit akut ialah E. coli, Shigella, Camphylobacter dan Staphylococuc. Sebahagian kuman ini menghasilkan racun (toxin) yang menyebabkan cirit-birit. Bahagian usus yang terbabit ialah usus kecil. Antara tanda-tandanya ialah pembuangan najis berair yang banyak secara tiba-tiba, rasa mual, muntah, kekejangan di bahagian perut (perut) dan kadangkala mengalami demam.

Jika usus besar terbabit, individu akan mengalami demam, kekejangan di bahagian perut (perut), rasa ketegangan dan kerap kali menghasilkan najis berdarah dan bernanah. Individu yang termakan racun oleh kuman Staphylococos  akan menerima kesannya dalam tempoh satu hingga dua jam, dan 12 hingga 24 jam jika racun itu dihasilkan oleh bakteria Salmonella. Kesan-kesan lain ialah demam, lesu, sakit otot, pedih pada bahagian ulu hati dan masalah anoreksia yang teruk. Individu yang dijangkiti oleh kuman virus, sering merasa sakit yang teruk pada bahagian atas pusat dan muntah-muntah dalam tempoh dua hingga tiga hari sebelum masalah ini mulai reda.

Cirit-birit yang boleh disebabkan oleh kuman bakteria campylobacter jejuni yang memakan masa satu minggu. Rawatan bantuan sudah memadai tetapi jika tidak berkesan antibiotik eritromisin perlu diberikan. Selain itu, bakteria Ysrsinia enterocolitica turut menyebabkan cirit-birit. Masalah ini berlarutan selama satu hingga tiga minggu dan akan reda sendiri. Pesakit hanya memerlukan rawatan sokongan tanpa ubat antibiotik.

Cirit-birit akibat jangkitan hanya perlu dirawat dengan memberikan air yang secukupnya dan  garam mineral bagi menggantikan jumlah air yang telah hilang melalui pembuangan najis berair yang kerap. Dalam kebanyakan kes, masalah akan reda dengan sendiri dan fungsi saluran pemakanan (usus) akan pulih tanpa atau dengan rawatan dalam tempoh 24 hingga 48 jam. Antibiotik hanya digunakan apabila cirit-birit terus berlaku dalam tempoh yang lebih lama walaupun rawatan sokongan telah diberikan kepada pesakit.

ii    Cirit-birit akibat kuman virus

Bayi dan kanak-kanak sering mengalami masalah cirit-birit. Puncanya sukar dikenal pasti walaupun dalam kebanyakan kes disebabkan oleh kuman virus. Kuman virus yang sering menjangkiti kanak-kanak ialah rotavirus. Kanak-kanak akan mengalami kesan jangkitan dalam tempoh 12 hingga 48 jam. Mereka akan mengalami cirit-birit, muntah-muntah dan demam. Namun cirit-birit tersebut akan reda dengan sendiri dalam tempoh lima hingga lapan hari. Manakala individu hanya perlu diberikan rawatan sokongan sahaja. Kajian membuktikan bahawa susu ibu mampu mencegah bayi daripada mengalami cirit-birit.

Cirit-birit yang akut pada kanak-kanak terutamanya bayi boleh membahayakan kesihatan mereka akibat ketidakseimbangan garam mineral dalam tubuh dan kekurangan air yang teruk. Kekerapan cirit-birit sebanyak lapan hingga 10 kali sehari bagi bayi berumur dua bulan boleh menyebabkan kehilangan cecair dalam badan yang serius sehingga mengakibatkan kegagalan fungsi buah pinggang dan fungsi jantung serta gangguan peredaran darah. Bagi kanak-kanak, masalah cirit-birit adalah serius dan perlu pemerhatian doktor.

iii    Cirit-birit diakibatkan oleh protozoa

Cirit-birit yang akut boleh juga disebabkan oleh organisma protozoa yang dikenali sebagai Giardia lamblia dan Entamoeba histolytica. Protozoa Giardiasis sering menjangkiti kanak-kanak, pelancong yang melancong ke kawasan atau negara bercuaca panas (tropika dan subtropika) serta pesakit-pesakit yang berada dalam wad hospital. Selepas satu hingga tiga hari jangkitan, individu akan mendapat cirit-birit dan kekejangan di bahagian perut.

Organisma protozoa Entamoeba histolytica selalu berada dalam kawasan yang mempunyai sistem pembuangan najis yang tidak bersih dan sempurna dan menjangkiti pesakit-pesakit yang berada di dalam hospital, pelancong dan pekerja-pekerja atau buruh asing (luar negara). Mereka akan mengalami kekejangan pada bahagian perut yang teruk dan cirit-birit selama tiga hingga 10 hari. Rawatan yang sesuai bagi kedua-dua jenis jangkitan oleh protozoa ialah ubat antibiotik Metronidazole.

iv    Cirit-birit yang diakibatkan oleh ubat

Terdapat ubat-ubat di dalam pasaran yang boleh mengakibatkan kesan sampingan cirit-birit. Individu yang menggunakan ubat-ubat tertentu untuk penyakit yang lain dan mendapat kesan sampingan cirit-birit. Kebanyakan daripada ubat antibiotik boleh menghasilkan kesan sampingan ini pada kebanyakan individu. Di antara ubat antibiotik tersebut ialah ampisilin, klindamisin, eritromisin, linkomisin, neomisin, triometoprim-sulfametoksazol, tetratsiklin dan sefalosporin.

Kesan sampingan tersebut berlaku kerana ubat yang digunakan menyebabkan kuman bakteria dan kulat yang ada dalam tubuh rintang atau dalam kata lain antibiotik tersebut tidak berkesan terhadap kuman-kuman tersebut. Akibatnya, kuman-kuman tersebut membiak dengan banyak dan ada di antara bakteria yang menghasilkan racun atau toksin. Antara kuman bakteria yang sedia ada dalam usus dan membiak apabila individu berkenaan memakan antibiotik ialah staphylococcus aureus, Pseudomonas aeruginosa, Streptococcus faecalis, Canadida albicans, kumpulan Salmonella dan Proteus.

Kesan sampingan ubat ini boleh reda dengan sendiri apabila ubat yang dimakan diberhentikan. Namun, individu dinasihatkan supaya menghubungi doktor atau ahli farmasi dengan segera apabila menghadapi kesan sampingan ubat tersebut. Doktor atau ahli farmasi juga patut menasihati pesakit berkaitan kesan samping cirit-birit yang mungkin akan dialami oleh individu apabila memakan sesuatu ubat.

Penggunaan antibiotik yang berpanjangan boleh menyebabkan pertumbuhan kuman bakteria Clostridium difficile. Ia akan menghasilkan racun yang boleh membawa maut jika masalah ini tidak ditangani dengan segera. Selain turut mengakibatkan radang pada bahagian usus kecil dan besar yang dikenali sebagai Pseudomembraneus colitis (PMC). Ini mudah berlaku pada warga tua. Individu akan mengalami cirit-birit yang sangat serius dan berpanjagan. Antara rawatan yang berkesan ialah dengan pemberian ubat antibiotik eritromisin, tetrasiklin, kumpulan sefalosporin, cankomisin dan metronidazol.

Kumpulan ubat lain yang boleh mengakibatkan kesan sampingan ialah seperti ubat untuk masalah sembelit, antasid, ubat darah tinggi, ubat kanser, ubat malaria dan ubat gout.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails