Followers

Tuesday, June 22, 2010

Mengembalikan Martabat Bunga Kebangsaan


Tanggal 28 Julai ini genap 50 tahun status Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan Malaysia.
Namun di sebalik kedudukannya yang gah itu, populariti Bunga Raya dilihat semakin menurun jika dibandingkan dengan apresiasi rakyat terhadap bunga kebangsaan itu sekitar 20 tahun lepas.

Suatu ketika dulu, Bunga Raya amat popular dalam segenap aktiviti rakyat di negara ini malah secara fizikalnya ia mudah didapati di landskap taman di sekolah, pejabat kerajaan dan swasta dan selain menjadi penyeri hiasan dalaman.
Ia juga sering menjadi penghias bagi kain rentang, buku cendera mata selain menjadi pilihan penggiat seni yang menjadikan bunga raya sebagai simbolik patriotisme kepada negara.
Malah Bunga Raya turut diabadikan pada duit syiling dan wang kertas.

BUNGA RAYA
Bunga raya, juga dikenali sebagai bunga sepatu dan kembang sepatu(Hibiscus rosasinensis) dan merupakan sejenis tumbuhan berbunga sepanjang tahun dalam genus Hibiscus yang sering ditanam sebagai pokok hiasan.

Bunga ini yang mengandungi 200-220 spesies ditanam secara meluas sebagai hiasan di seluruh kawasan tropika dan separa tropika. Bunganya besar, merah, keras, tetapi tidak berbau.
Pelbagai kultivar, varieti, dan hibrid dihasilkan, dengan warna bunga pelbagai dari putih kepada kuning dan kuning bata dan merah jambu lembut, dengan kelopak set tunggal dan berganda.

WARISAN NEGARA
Bunga Raya juga diangkat sebagai warisan kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara sejak 2007.
Di bawah kategori objek warisan ketara, Bunga Raya diletakkan sebaris dengan objek warisan kebangsaan lain seperti Jalur Gemilang, Jata Negara, Manuskrip Sejarah Melayu, Hukum Kanun Melaka, Manuskrip Hikayat Hang Tuah dan Watikah Perisytiharan Kemerdekaan.

"Bunga Raya dipilih sebagai warisan kebangsaan kerana ia mempunyai nilai warisan yang tinggi kepada negara," kata Pesuruhjaya Warisan Negara Prof Emeritus Datuk Siti Zuraina Abdul Majid mengulas kedudukan bunga kebangsaan itu.
Siti Zuraina juga mengakui apresiasi rakyat, terutama generasi muda kepada bunga kebangsaan itu semakin luntur ekoran faktor tertentu antaranya kehadiran spesis bunga komersil lain seperti orked yang menjadi pilihan umum.

Faktor lain, kurangnya kesedaran mengenai kedudukan bunga kebangsaan itu.
"Sesuatu harus dibuat untuk ubah keadaan ini. Rakyat perlu memahami kenapa Bunga Raya dipilih sebagai bunga kebangsaan dan bagaimana kita sepatutnya bangga dengan warisan ini," kata pesuruhjaya warisan itu.

Mengikut fakta sejarah terdapat tujuh jenis bunga yang dicadangkan untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan sejurus negara merdeka pada 1957 iaitu Kenanga, Melur, Teratai, Mawar, Cempaka, Bunga Tanjung dan Bunga Raya.
Namun setelah melalui proses pemilihan ketat, Bunga Raya atau nama santifiknya Hibiscus Rosa-Sinensis diisytiharkan sebagai bunga kebangsaan pada 28 Julai 1960 oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

SIMBOL KEMEGAHAN
Selain warna merah yang melambangkan keteguhan politik dan ekonomi negara serta sifat keberanian dalam menempuh pelbagai cabaran, Bunga Raya dipilih sebagai lambang kebanggaan negara kerana beberapa sifatnya yang unik.

Sifatnya yang mempunyai lima kelopak dikaitkan dengan lima prinsip Rukun Negara yang merupakan tunjang utama dalam penyatuan masyarakat yang berbilang agama dan bangsa di negara ini.
Sejak itu Bunga Raya menjadi simbol kemegahan rakyat Malaysia digunakan sebagai simbol logo, lencana, bendera dan setem malah turut diterjemahkan pada wang kertas dan syiling Malaysia.

Ia menjadi perhiasan di bangunan Parlimen dan menjadi simbol Filem Negara.
Bagi menyemarakkan dan mengembalikan semula martabat bunga raya sebagai bunga kebangsaan, Siti Zuraina berkata beberapa program diatur Jabatan Warisan dan beberapa agensi kerajaan lain untuk tempoh setahun bermula Julai ini.

Antara lain, Jabatan Warisan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah dan kampung untuk menanam semula Bunga Raya bertujuan mengembalikan semula kesedaran rakyat tentang bunga warisan kebangsaan itu.
"Sepanjang tahun ini, kita juga akan bekerjasama dengan Jabatan Landskap Negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menghidupkan semula kecintaan masyarakat kepada Bunga Raya.

"Caranya amat ringkas, kita kembali seperti dulu di mana Bunga Rraya dimuatkan pada kain rentang, buku aturcara majlis, menggunakan Bunga Raya sebagai hiasan dalam pejabat, menanam semua Bunga Raya dan lain-lain," kata pesuruhjaya Warisan itu optimis.
Beliau berkata majlis khas sempena ulang tahun ke-50 Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan akan diadakan di Kompleks Kraftangan di ibu negara pada 22 Julai ini dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dijadual melancarkan majlis itu.

Siti Zuraina berkata terdapat dua pengisian dalam majlis ulang tahun itu, iaitu pelancaran syiling khas Bunga Raya yang dikeluarkan Bank Negara dan setem istimewa yang dikeluarkan Pos Malaysia.
Katanya beberapa agensi kerajaan yang lain seperti Kraftangan, Istana Budaya dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara akan menjalankan beberapa aktiviti menarik bagi menyemarakkan lagi apresiasi rakyat kepada bunga kebangsaan itu.

DOKUMENTARI
Difahamkan RTM juga akan menyiarkan dokumentari pendek yang diterbitkan Arkib Negara dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) seminggu sebelum majlis ulang tahun ke-50 Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan itu.

"Kita harap aktiviti dianjurkan ini akan mengembalikan nostalgia masyarakat umum kepada bunga raya, bunga kebangsaan iaitu kemegahan setiap rakyat Malaysia yang lahir di negara ini," kata Siti Zuraina.
Ia juga bagi memastikan Bunga Raya diwarisi secara fizikal di masa depan.

-- BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails