Followers

Friday, April 23, 2010

Semakan Semula Tarif Mel Domestik Tidak Bebankan Rakyat

HULU SELANGOR, 22 April (Bernama) -- Semakan semula tarif mel domestik berkuatkuasa Julai depan tidak akan membebankan rakyat malah akan membela nasib lebih 15,000 kakitangan Pos Malaysia, termasuk posmen dan kerani pos.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata ini kerana 90 peratus pengguna utama perkhidmatan pos dengan jumlah 1.2 bilion item mel setahun ialah pelanggan korporat, selebihnya adalah orang ramai.

"(Penstrukturan) ini dilakukan sebab tarif mel tidak pernah dikaji sejak 1992," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Mel Rakyat sempena semakan kadar tarif mel domestik Pos Malaysia Berhad di Pejabat Pos Kuala Kubu Baru di sini.

Kabinet pada awal bulan ini bersetuju semakan semula dilakukan berhubung tarif dan harga setem surat standard kurang 20g daripada 30 sen kepada 60 sen bermula Julai ini.

Ini bagi membolehkan penstrukturan semula gaji dan elaun kakitangan Pos Malaysia terutama posmen dan kerani pos dapat dilakukan dengan hasrat meningkatkan produktiviti pekerja industri komunikasi itu.

Rais berkata semakan tarif mel domestik yang akan menjimatkan subsidi RM76 juta setahun diberikan Pos Malaysia kepada pelanggan korporatnya akan membolehkan gaji dan elaun kakitangan terlibat dinaikkan di antara RM100-RM300.

"Ini usaha kerajaan menjaga kebajikan pihak terbabit," kata Menteri itu.

Beliau berkata bagi memastikan semakan tarif itu tidak membebankan rakyat, Pos Malaysia memperkenalkan aerogram (surat berlipat) "Mel Rakyat" -- perkhidmatan pos dengan kadar 30 sen ke serata negara bagi item mel kurang 20g.

Aerogram Mel Rakyat boleh dibeli di mana-mana pejabat Pos tanpa memerlukan setem sebelum pengguna boleh menghantar aerogram itu menggunakan peti pos biasa dengan tarif sama sebelum semakan tarif mel domestik itu dilakukan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails